LONDON – Manchester United dilaporkan telah menyenaraikan jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone sebagai antara calon pengurus tetap kelab tersebut pada musim depan.
Simone dilihat sebagai calon yang sesuai oleh pegawai-pegawai di United bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat bulan lalu.
Jurulatih dari Argentina itu ketika ini dalam perbincangan untuk menyambung kontrak baharu di Atletico selepas kontraknya berakhir tahun depan.
Namun, ia tidak menghalang minat United yang dikatakan telah menghubungi wakil Simeone bagi menyatakan tawaran mereka ke atas tugas di Old Trafford tersebut.
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino yang sebelum ini dilihat sebagai calon utama oleh United telah menyuarakan hasratnya untuk terus kekal di kelab London itu, sekali gus menguburkan impian The Red Devils untuk mendapatkannya musim depan.
Kini, Simeone yang pernah menjadi rakan sepasukan Pochettino dalam skuad kebangsaan Argentina mula dianggap sebagai alternatif terbaik yang memiliki kredibliti tinggi.
Jurulatih berusia 48 tahun itu telah bersama Atletico sejak 2011 dan berjaya membimbing mereka merangkul gelaran La Liga dan dua kejuaraan Piala Europa selain turut mara ke final Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali.
United pula ketika ini melantik bekas penyerang mereka, Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali sementara sehingga hujung musim ini. – Agensi










