KUALA LUMPUR 20 Jan. – Tindakan Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta Peguam Negara menari sepentas dalam suatu majlis rasmi didakwa boleh menimbulkan tohmahan terhadap mereka
Sehubungan itu, Presiden Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mahu satu penjelasan diberi kerana pihak berkenaan turut menari bersama-sama dengan menteri, peguam dan penjawat awam lain.

Katanya, walaupun ketika itu mereka diundang ke pentas untuk menari, bagi memelihara kesucian institusi yang diwakili, sewajarnya undangan itu ditolak kerana boleh menimbulkan fitnah.
“Isunya bukan majlis makan malam dan persembahan yang diadakan tetapi persoalan mengapa individu tertinggi badan kehakiman turut serta menari dan kelihatan bermesra dengan cabang kerajaan lain serta peguam persendirian seolah-olah memberi isyarat keakraban hubungan mereka sehingga mungkin boleh menjejaskan keadilan.
“Saya mendesak Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Peguam Negara menjelaskan kenapa mereka naik pentas sedangkan di pentas tersebut terdapat Menteri Persekutuan, Peguam Negara, peguam-peguam persendirian yang akan menimbulkan tohmahan kepada institusi yang sedang mereka ketuai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zainul Rijal berkata, persoalan juga timbul adakah insiden ini memberi isyarat prinsip pengasingan kuasa yang sekian lama diamalkan sudah pudar atau tidak lagi dipentingkan.
Katanya, pelanggaran etika Ketua Hakim mesti diadukan kepada Yang di-Pertuan Agong yang bertanggungjawab melantik Ketua Hakim.
“Jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini ialah dengan merujuk kepada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan. Aduan perlu dibuat kepada Perdana Menteri agar membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan jika Perdana Menteri berfikir hakim-hakim tersebut wajar dipecat.
“Sekiranya tidak, tindakan lain menurut undang-undang perlu diambil. Walau bagaimanapun, Ketua Hakim tidak boleh menghakimi aduan tersebut kerana beliau bersama-sama di dalam majlis berkenaan,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, Yang di-Pertuan Agong juga boleh menubuhkan suatu tribunal jika suatu representasi dibuat oleh Perdana Menteri bagi memecat hakim yang melanggar etika bukanlah suatu yang wajar.










