KUALA LUMPUR 15 Jan. – Suruhanjaya Pengecahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bahawa siasatan yang dijalankan berhubung pembekalan baju kalis api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menghalang atau menyekat perolehan atau pembelian jabatan itu.
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan berhubung pembekalan baju kalis api JBPM bagi tahun 2016 itu sedang dilakukan dan hampir selesai.
“Kita hanya menunggu keterangan daripada United Kingdom yang diminat melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
“Contoh baju kalis api yang dibekalkan oleh kontraktor itu juga telah dihantar ke Jabatan Kimia dan telah disahkan berbahaya untuk digunakan kerana tidak mengikut standard yang ditetapkan JBPM,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.
Tambahnya, SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan yang sedang berjalan tidak menghalang atau menyekat peroleh serta pembelian oleh JBPM. – UTUSAN ONLINE










