KUALA LUMPUR 24 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melengkapkan kertas siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohammad Fuzi Harun berkata, siasatan melibatkan 1MDB masih berjalan dan pihaknya dalam usaha melengkapkan semua kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Siasatan berhubung 1MDB dibuat secara berterusan dan tempoh masa yang diberikan untuk kita menjalankan siasatan adalah sehingga Mac ini.
“Apabila kertas siasatan telah lengkap, kita akan serahkan kepada pihak pendakwa raya (DPP) dan tindakan lanjut dibuat berdasarkan arahan DPP,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Majlis Rondaan Cegah Jenayah melibatkan pelatih dari Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur bersama Ketua Polis Negara di Berjaya Times Square, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai serbuan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di firma guaman Rahmat Lim & Partners untuk mencari dokumen yang dikaitkan dengan 1MDB, Fuzi menegaskan perkara tersebut bukannya sesuatu yang ganjil asalkan ia mengikut lunas undang-undang.
“Siasatan 1MDB ini sentiasa berjalan sekiranya ada serbuan dibuat itu untuk membantu siasatan kita,” ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Pengarah JSJK, Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu dan memaklumkan penggeledahan tersebut sehingga kini masih berjalan di firma tersebut.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan sepasukan polis JSJK Bukit Aman menyerbu sebuah firma guaman di MidValley City di sini pada pukul 10 pagi hari ini.
Serbuan itu dilakukan bagi mencari dokumen berkaitan tiga bon 1MDB yang dikendalikan oleh Goldman Sachs selepas mereka memperoleh perintah mahkamah untuk berbuat demikian.
Rahmat Lim & Partners dilaporkan firma guaman yang mewakili gergasi perbankan pelaburan AS itu semasa terbitan bon 1MDB pada tahun 2012 dan 2013 berjumlah AS $ 6.5 bilion. – UTUSAN ONLINE











