Shutdown cetus huru-hara Amerika - Utusan Malaysia

Shutdown cetus huru-hara Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 3 Jan. – Krisis shutdown Amerika Syarikat (AS) bakal berlanjutan untuk hari ke-14 dengan mesyuarat antara Presiden Donald Trump dan para pemimpin Kongres yang dijalankan semalam menemukan jalan buntu apabila tiada perkembangan positif dicapai.

Dari sisi Trump, beliau dilihat bertegas mahu Kongres meluluskan dana pembinaan tembok sempadan dengan Mexi­co bernilai AS$5 bilion (RM20.7 bilion) namun ahli Kongres Demokrat enggan meluluskan serta-merta dana terbabit dan mahu operasi kerajaan diteruskan semula.

Para pemimpin Kongres dijadual kembali ke White House untuk meneruskan mesyuarat berhubung isu tersebut dan memberi isyarat bahawa krisis shutdown akan berterusan sehingga hujung minggu ini.

Menurut Pemimpin Minoriti Senat, Nancy Pelosi, Dewan Perwakilan yang akan diambil alih oleh Demokrat hari ini akan meneruskan rancangan untuk me­ngadakan undian bertujuan menamatkan krisis shutdown tanpa memberikan sebarang dana yang dituntut oleh Trump.

Pelbagai kesan mula ‘meluap’ ketika ini apabila seramai 800,000 staf kerajaan tidak dibayar gaji sehingga membawa masalah kepada kutipan sampah dan perkahwinan. – REUTERS/AGENSI

1. Smithsonian

Kebanyakan muzium Smithsonian dan Zoo Negara di Washington ditutup ekoran shutdown, menurut laman web Smithsonian. Antara yang ditutup ialah Muzium Negara Sejarah dan Kebudayaan Afrika Amerika yang popular di negara ini.

“Pemegang pas masuk akan diberikan e-mel berkaitan arahan bagaimana untuk menyusun semula jadual lawatan mereka,” menurut muzium terbabit menerusi Instagram.

Semua siaran langsung haiwan termasuk kamera panda turut dihentikan. Kesemua haiwan akan dijaga terus, dipantau dan dijaga.

Jurucakap Smithsonian, Linda St. Thomas seperti dipetik oleh BBC sebagai berkata, pihaknya akan kehilangan kira-kira 1.2 juta pengunjung sekiranya shutdown berterusan sehingga akhir bulan ini. Linda menyatakan dua pertiga pekerja Smithsonian terjejas.

Arboretum Negara dan Arkib Negara juga ditutup. Galeri Seni Negara berjaya mengumpul dana yang mencukupi dan akan dibuka sehingga hari ini.

2. Keselamatan Dalam Negeri

Jabatan yang mengendalikan Perlindungan Kastam dan Sempadan; Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam; Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan; Pengawal Pantai dan Perkhid­matan Rahsia turut terjejas.

Namun kebanyakan pekerja adalah diperlukan, jadi mereka terpaksa bekerja tanpa gaji sehingga krisis shutdown ber­akhir. Menurut pelan kotingensi jabatan, daripada 245,000 pekerja, hampir 213,000 pekerja diperlukan.

3. Pembangunan Bandar dan Perumahan (HUD)

Daripada 7,500 pekerja di jabatan ini, hanya 340 orang sahaja diperlukan untuk bekerja. Hampir 1,000 lagi dipanggil untuk menjalankan tugas-tugas khas, tanpa diberikan gaji.

4. Jabatan 
Perdagangan

Biro Analisis Ekonomi dan Biro Bancian tidak mengeluarkan data ekonomi termasuk nilai utama produk domestik kasar, inflasi, pendapatan peri­badi, perbelanjaan, penjualan rumah baharu dan perdagangan ketika shutdown.

5. Pejabat Pengurusan Kakitangan

Agensi yang mengawasi tenaga kerja Persekutuan telah memberi nasihat kepada pekerja mengenai urusan dengan pemilik tanah, peminjam pajak gadai dan pemiutang lain, termasuk surat contoh yang menjelaskan pendapatan yang teruk akibat kurangnya dana Persekutuan.

6. Pengawal Pantai

Anggota Pengawal Pantai dijangka mendapat gaji terakhir tahun lalu pada Isnin nanti sehingga operasi kerajaan diteruskan semula.

7. Jabatan 
Pedalaman

Perkhidmatan Taman Negara, bernaung di bawah jabatan ini, beroperasi dengan bilangan kakitangan yang minimum. Di bawah pelan kotingensi, sesetengah taman masih boleh diakses tetapi selebihnya ditutup sepenuhnya.

Perkhidmatan Taman Negara turut menangguhkan perkhid­matan seperti bilik air dan membaiki jalan serta pengutipan sampah. Susulan itu, timbunan sampah mula kelihatan di kawasan tumpuan orang ramai seperti National Mall dan White House.

8. Jabatan Pengangkutan

Daripada 55,000 pekerja, seramai 20,400 diberikan cuti. Jumlah ini tidak termasuk kebanyakan Pentadbiran Pe­ngangkutan Udara Persekutuan, di mana seramai 24,200 orang sedang bekerja dan Pentadbiran Lebuh Raya Persekutuan dengan kese­mua 2,700 pekerja dibia­yai menerusi pelbagai sumber.

Kawalan trafik udara, pemeriksaan keselamatan bahan berbahaya dan siasatan kemalangan masih diteruskan tetapi proses membuat keputusan, pemeriksaan serta audit telah ditangguhkan.

9. Suku kaum asli Amerika bergelut

Suku kaum asli Amerika menerima peruntukan khas untuk perkhidmatan tertentu se­perti penjagaan kesihatan dan makanan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah mereka yang dipersetujui berdekad lalu.

Di Michigan, suku kaum Chippewa terpaksa menggunakan dana mereka sendiri untuk membayar kira-kira AS$100,000 (RM414,147) untuk memastikan pantri makanan dan klinik terus beroperasi.

Kisah serupa turut dirasai di seluruh negara. Sesetengah suku kaum Navajo di New Mexico, Arizona dan Utah terperangkap dalam rumah tanpa akses kepada barangan runcit dan per­ubatan kerana jalan rosak.

Di Minnesota, pegawai polis di Boise Forte Indian Reservation turut bekerja tanpa gaji.

10. Perkahwinan tertangguh

Penutupan operasi kerajaan turut memberi kesan kepada urusan pendaftaran perkahwinan.

Sepasang kekasih menerusi Twitter menyatakan perkahwinan mereka terpaksa ditangguhkan selepas kakitangan Biro Perkahwinan diberikan cuti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN