KANGAR 8 Jan. – PERTUDUHAN kes cabul terhadap Datuk Seri Shahidan Kassim yang sepatutnya berlangsung hari ini, terpaksa ditunda pada 25 Februari ini selepas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Perkara tersebut, dimaklumkan oleh peguam bela Shahidan, Thalia Rohaina Abdul Latiff yang memaklumkan anak guamnya itu mengalami penyakit yang menyebabkan badannya kebas dan perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
Sehubungan itu, menurut Thalia, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ainul Shahrin Mohamad telah menetapkan 18 Februari ini untuk serahan dokumentasi kepada tertuduh.
Mahkamah pada prosiding sama turut menetapkan 25 Februari ini untuk pihak tertuduh membuat representasi selepas dokumen tersebut diteliti.
Ujar Thalia, Shahidan tidak dapat hadir pada prosiding sebutan kerana terpaksa dimasukkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan daripada pakar neurologi.
“Hari ini, sepatutnya berlangsung serahan dokumen, namun tidak dapat dilakukan kerana dokumen itu perlu diserahkan terus kepada anak guamnya.
“Sehubungan itu, hakim menetapkan tarikh baharu iaitu 18 Februari depan untuk serahan dokumen dan seminggu selepas itu untuk kita membuat representasi berhubung dokumen yang diterima,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, peguam pemerhati kepada keluarga mangsa, Mohd. Hapiz Rajali berkata, mangsa dan keluarganya berhasrat untuk tidak meneruskan kes tersebut kerana remaja itu mahu meneruskan persekolahan dengan tenang
“Walau bagaimanapun kita perlu mengikut prosiding kes ini dan menunggu keputusan hakim,” katanya
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail dan tertuduh diwakili barisan peguam Thalia Rohaina, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim serta Zuhair Ahmad Zakuan.
Pada 12 November tahun lalu, Shahidan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencabul seorang gadis bawah umur meskipun keluarga remaja itu sudah menarik balik laporan terhadap Ahli Parlimen Arau itu.
Ahli Parlimen Arau itu walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selain berharap keadilan dan kebenaran akan dapat ditegakkan dalam kes berkenaan.
Beliau didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dalam sebuah kereta Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober lalu. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.










