KUALA TERENGGANU 5 Jan. – Penyokong Terengganu memberi sambutan hangat kepada bintang import baharu mereka, Sanjar Shaakhmedov yang tiba di sini semalam.
Pemain tengah berusia 28 tahun dari Uzbekistan itu dijangka menjadi watak penting buat skuad Penyu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.
Shaakhmedov sebelum ini meledak tujuh gol dalam 31 penampilan bersama Lokomotiv Tashkent untuk membantu mereka muncul juara Uzbekistan tiga musim berturut-turut.
Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, dia teruja apabila disambut oleh lebih 100 penyokong Terengganu.
Shaakhmedov bagaimanapun belum bersedia mengeluarkan sebarang kenyataan, namun sempat melayani peminat yang mahu bergambar dan meminta autograf.
Dia bakal menyertai Terengganu yang akan terbang ke Vietnam dalam masa terdekat untuk mengharungi perlawanan pramusim.
Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim percaya, beberapa aksi persahabatan di Vietnam mampu menguji pasukannya sebelum Liga M membuka tirai pada 2 Februari, terutama pemain yang baharu melapor diri.
“Sepanjang aksi di Vietnam kita akan menilai sejauh mana kekuatan sebenar pasukan, termasuk kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum bermulanya liga yang semakin hampir.
“Kami juga akan menitikberatkan berkaitan keserasian pemain, biarpun sebahagian besarnya adalah pemain yang sama pada musim lalu,” katanya.
Semua pemain termasuk lima tonggak import iaitu Shaakhmedov, Lee Tuck, Thierry Chantha Bin, Igor Zonjic dan kapten, Kipre Tchetche akan menyertai skuad Penyu dalam aksi persahabatan kali ini.
“Kami akan bertolak ke Vietnam pada 13 Januari ini. Aksi pertama bertemu kelab Binh Doung FC sehari selepas itu, diikuti kelab Troung Giang FC pada 16 Januari, sebelum aksi terakhir bertemu kelab Than Quang Ninh FC,” kata Irfan lagi.










