LIPIS 15 Jan. – Semangat Wanita UMNO dalam melaksanakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands tidak pernah luntur walaupun dalam keadaan yang mencabar apabila menjadi pembangkang pada masa ini.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, gerak kerja melalui program Ziarah Sayang dengan mendekati pengundi dari rumah ke rumah terus digerakkan ke seluruh daerah ini.
“Dalam keadaan kita adalah pembangkang kita kena lipat gandakan lagi usaha kita dan apa yang kita lihat pada masa ini banyak perkara dijanjikan kerajaan tidak ditunaikan.
“Kita pergi dari rumah ke rumah sebab itu lebih ‘ personal touch’ dan bila kita berjumpa boleh mendengar sendiri terus daripada pengundi apa yang dirasakan mereka dan apa harapan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Sayang di Felda Koyan 1 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










