CAMERON HIGHLANDS 14 Jan. – Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Wong Seng Yee mahu siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan kegiatan memberi wang kepada Orang Asli oleh jentera sebuah parti politik yang tular di media sosial.
Katanya, sekiranya dakwaan tersebut benar, ia amat mengecewakan memandangkan ketiga-tiga calon telah pun menandatangani Ikrar Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
“Saya harap semua calon yang telah tandatangan ikrar menunaikan janji supaya kempen yang berjalan selama dua minggu ini dapat dilakukan secara bersih, amanah dan lancar.
“Namun, jika dakwaan itu benar, saya kecewa dan berharap pihak berkuasa dapat buat siasatan dan ambil tindakan agar perkara sama tidak berulang pada pilihan raya lain,” katanya ketika ditemui selepas membawa wakil media ke ladang bunganya di Habu di sini hari ini.
Sebelum ini, Seng Yee bersama calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran serta seorang calon Bebas, Salehuddin Ab. Talib menandatangani ikrar bagi memastikan perjalanan PRK Parlimen itu berlangsung mengikut peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor tidak menghadiri sesi itu kerana terikat dengan jadual padat.
Sementara itu, ditanya kemungkinan dia cenderung memihak kepada mana-mana calon pada PRK tersebut, Seng Yee menafikan perkara itu dan memaklumkan dia bergerak berseorangan tanpa bantuan daripada pihak tertentu.
“Saya ada ramai rakan daripada PH sama ada DAP mahupun PKR ataupun parti pembangkang seperti MCA dan UMNO,” katanya










