KLANG – Cubaan sekumpulan penjenayah menyeludup keluar sembilan set mesin acuan suntikan plastik bernilai RM3.6 juta gagal dalam serbuan di sebuah gudang di Bandar Sultan Suleiman di sini semalam.
Dalam serbuan bermula pukul 10 pagi itu, polis menahan lima suspek lelaki termasuk pemilik gudang berkenaan berusia 27 hingga 48 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kumpulan penjenayah itu terlebih dahulu melakukan rompakan di sebuah kilang membuat bekas makanan plastik di kawasan yang sama pukul 12.30 tengah hari, Sabtu lalu.
Katanya, rompakan itu dilakukan oleh tiga suspek yang melarikan sembilan set mesin acuan suntikan plastik dengan menggunakan sebuah lori dan treler.
“Tiga suspek tersebut menyamar sebagai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memeriksa suis di dalam kilang terbabit.
“Mereka yang bersenjata pisau kemudiannya mengikat dan menutup mata dua pengawal keselamatan yang bertugas menjaga kilang tersebut. Sewaktu kejadian, kilang itu tidak beroperasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua hasil rompakan itu kemudiannya disimpan di dalam gudang milik salah seorang suspek yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari kilang plastik tersebut.
Nurulhuda menambah, susulan kejadian itu pihaknya kemudiannya berjaya menahan dua suspek di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebaik tiba dari Pulau Pinang pukul 10 pagi, semalam.
Kedua-dua suspek itu merupakan pemilik gudang dan juruteknik gudang berkenaan.
“Soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu kemudiannya membawa kepada penangkapan tiga lagi suspek di gudang simpanan barangan rompakan itu pukul 2.30 petang hari sama.
“Kita turut menemui semula sembilan set mesin tersebut yang dipercayai akan diseludup keluar ke negara China,” katanya.
Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek telah menerima bayaran sebanyak RM900,000 yang merupakan nilai jualan barangan itu.
“Setiap satu mesin itu dianggarkan bernilai RM400,000 dengan kesemua suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – K! ONLINE










