BUKIT MERTAJAM 31Jan. – Sembilan lelaki termasuk seorang warga emas ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam enam kes memecah masuk kedai di kawasan Icon City dan Kampung Jalan Pengkalan, Bukit Tengah di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kesemua suspek tersebut berusia antara 21 hingga 68 tahun ditahan di lima lokasi berasingan di sekitar Bukit Mertajam, Bukit Tengah, Bandar Baharu dan Serdang di Kedah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Telok Sera, Serdang, Kedah dan menahan lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes memecah masuk kedai tersebut.
“Menerusi soal siasat yang dijalankan seorang suspek mengaku telah memecah kedai di sekitar Bukit Tengah.
“Berpandukan maklumat daripada suspek, pihak polis telah membuat tangkapan suspek lain di beberapa lokasi berasingan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan hasil serbuan di lokasi-lokasi tersebut pihak polis merampas lapan plastik lutsinar disyaki dadah, penimbang digital, beberapa dokumen dipercayai milik syarikat, dua buah peti simpanan wang, mesin juruwang dan lain-lain barang kes yang disyaki dicuri suspek.
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk tindakan selanjutnya.
“Ujian Air kencing terhadap lapan dapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya. – UTUSAN ONLINE










