AL AIN, Emiriah Arab Bersatu 29 Jan. – Bola sepak Jepun terkenal dengan skil taktikal yang dimiliki, namun, semangat juang yang tinggi menjadi faktor kejayaan kepada Blue Samurai mara ke pentas akhir Piala Asia, kata jurulatih, Hajime Moriyasu.
Gol tandukan dan penalti daripada penyerang Yuya Osako pada babak kedua meranapkan semangat pemain Iran sebelum Genki Haraguchi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit terakhir permainan sekali gus mara ke perlawanan akhir buat kali kelima.
“Iran memperoleh keputusan yang baik sebelum ini dan kami tahu mereka lawan yang sukar, namun, pemain sudah membuat persediaan rapi dan mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Mereka tidak pernah lupa untuk mempunyai pemikiran sebagai pencabar dan itu yang menyebabkan kami menang, hari ini (semalam). Suasana perlawanan seperti kami beraksi di laman lawan, tetapi ramai penyokong Jepun yang berada di stadium dan peminat di tanah air turut memberikan sokongan.
“Saya gembira pemain dapat menunjukkan semangat untuk berjuang dan mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.
Meskipun berjaya layak ke final, Jepun memulakan kempen mereka dengan persembahan kurang meyakinkan di Emiriah Arab Bersatu, setelah mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan menerusi margin jaringan 1-0 dan menewaskan Arab Saudi serta Vietnam juga dengan keputusan 1-0.
“Saya tidak fikir kami berubah jika dibandingkan dengan permainan sebelum ini, namun, apa yang pemain lakukan ialah cuba beraksi di tahap terbaik secara individu dan berpasukan serta berusaha mendapatkan keputusan yang bagus,” katanya. – REUTERS











