Sektor kewangan Malaysia dipercayai - Utusan Malaysia

Sektor kewangan Malaysia dipercayai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Sebanyak 83 peratus daripada rakyat Malaysia melihat sektor kewangan tempatan mempunyai reputasi baik meskipun pernah dilanda krisis kewangan global 10 tahun lepas dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Indeks Reputasi Perkhidmatan Kewangan Malaysia yang dikeluarkan oleh MHP Communications mendedahkan 83 pe­ratus pengguna percaya syarikat perkhidmatan ke­wangan semakin dipercayai dalam tempoh sedekad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MHP Communications Asia Pasifik, Emma Smith berkata, meskipun berdepan cabaran pada tahun lepas susulan isu 1MDB dan perubahan kerajaan, reputasi sektor kewangan Malaysia kekal berdaya tahan.

Menara Maybank
 

Katanya, bank-bank tempatan dilihat menerajui kepercayaan dalam sektor kewangan negara yang terkemuka apabila pegawai bank mengatasi polis, ahli politik dan peguam dalam kepentingan amanah.

“Pengguna juga menunjukkan kesetiaan mereka kepada jenama tempatan berbanding pesaing-pesaing luar negara yang semakin kukuh bertapak di Malaysia.

“Peningkatan pendigitalan menyediakan peluang dan cabaran dalam perkhidmatan kewangan kerana pengguna menunjukkan kebimbangan tinggi terhadap ke­selamatan data sementara per­khidmatan digital disifatkan sebagai pemacu utama reputasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan jangkaan positif itu, MHP Communications melihat syarikat kewangan dianggotai warga korporat bertanggungjawab, majikan yang baik atau menyumbang kembali kepada masyarakat menjadi lebih penting kepada pengguna.

Agensi komunikasi stra­tegik itu membuat tinjauan terhadap lebih 5,000 orang dari Malaysia, China, Hong Kong, India dan Singapura, dengan sekurang-ku­rangnya 1,000 ­responden setiap pasaran.

Berdasarkan tinjauan MHP Communications, lima jenama bank tempatan dipercayai rakyat Malaysia adalah Maybank, CIMB, Public Bank, RHB Bank dan Hong Leong Bank.

Dalam pada itu, 59 peratus daripada responden mahu melihat produk dan perkhidmatan pe­langgan yang lebih baik pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×