KUALA LUMPUR 4 Jan. – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan membentangkan Akta Sabotaj Ekonomi dalam persidangan Parlimen yang akan datang sebagai usaha agar tiada mana-mana kontrak kerajaan disalahgunakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman menjelaskan, akta itu perlu diberi penekanan kerana telah dibentangkan ketika Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara malah turut dikemukakan dalam laporan Institut Masa Depan Malaysia.
“Kami berharap agar akta ini dapat dibentangkan secepat mungkin agar hanya usahawan yang layak diberikan kontrak kerajaan, tanpa mengambil kira jawatan politik mereka.
“Jika tidak perkembangan ekonomi bumiputera akan kekal lesu dan keadaan politik negara akan terus bergolak akibat kekecewaan rakyat khususnya pengundi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tegasnya lagi, MTEM juga menyokong tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyelar perwakilan berkaitan isu pemberian kontrak dan jawatan ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE










