Ini kali pertama seorang artis tempatan mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman terhadap pengguna laman sosial kerana melemparkan komen memburukkan dirinya berhubung kes penularan isu fitnah jururawat.
Keputusan itu tidak mudah dibuat, namun penyanyi dan pelakon Linda Rafar mahu memberi pengajaran kepada setiap warganet agar bertanggungjawab ke atas setiap tulisan mereka dan tidak sewenang-wenangnya mengaibkan pihak lain.

Kesemuanya dibuat demi ibunya, Rasimah Abd Rahman, 74, yang meninggal dunia 11 Januari lalu.
Episod cerita bermula apabila Linda meluahkan rasa tidak puas hati dalam laman sosial dengan layanan jururawat di sebuah hospital ketika arwah ibunya sedang menerima rawatan.
Mengupas secara terperinci mengapa dia mengambil tindakan berkongsi kejadian tersebut dalam Instagram, jelas Linda, apa yang berlaku ke atas ibunya bukan dalam tempoh yang sekejap.
Apa pun sebagai seorang anak dia akan melakukan apa sahaja demi keselesaan si ibu.

“Kalau saya jahat sudah lama saya tularkan gambar jururawat terbabit. Sebabnya apa yang berlaku itu bukan dalam tempoh yang sekejap. Buat masa ini saya simpan dahulu semuanya.
“Saya tidak kata semua jururawat jahat. Saya hanya kongsi luahan hati seorang anak yang mahukan keselesaan untuk ibunya. Rasanya bukan saya seorang, tetapi orang lain di luar sana juga akan buat perkara yang sama untuk ibu mereka,” katanya.
Menolak rasa menyesal dengan apa yang berlaku, saat ini kongsi Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, 41, tiada perasaan lain yang lebih kuat daripada memikirkan dia tidak mampu memberikan keselesaan buat ibunya sebelum insan paling disayanginya itu menghembuskan nafas terakhir.
“Saya tidak menyesal sebab apa yang berlaku untuk mempertahankan ibu. Sebagai anak saya bertanggungjawab untuk membela dia.
“Sukar untuk saya jelaskan perasaan selepas dia meninggal, seolah- olah saya tidak mampu menggembirakan dia pada saat-saat akhir hayatnya,” katanya sebak.
Melalui hari-hari tanpa kasih sayang seorang ibu, kongsi Linda, ia bukan sesuatu yang mudah.
Malah sehingga ke saat ini dia masih terkesan dengan apa yang berlaku.
“Sebagai antara anak yang cukup rapat dengan ibu, saya akui selepas dia meninggal kesannya masih dirasai sehingga kini. Setiap hari saya menangis selain tidak dapat tidur.
“Apa yang saya lalui ini keluarga sendiri sampak. Malah ada ketikanya saya bercakap seorang diri. Saya berada dalam keadaan murung selepas pemergian ibu,” jelasnya selepas ditanya keadaannya selepas pemergian ibunya.
Minta warganet mohon maaf
Ekoran daripada tindakan undang-undang yang dibuat oleh Linda ke atas lebih 100 warganet, dia sudah mengenal pasti kesemua mereka yang terlibat dan notis saman akan dihantar kepada pihak berkenaan dalam tempoh sebulan.
“Kami sudah mengenal pasti mereka yang terlibat dan memilih komen yang benar-benar keterlaluan sehingga mengaibkan bukan sahaja saya tetapi seluruh ahli keluarga.
“Kami menuntut individu yang terlibat memohon maaf secara terbuka melalui platform media sosial masing- masing dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas notis ini diterima mereka,” katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.
Linda yang turut ditemani peguamnya memberitahu, tindakan itu diambil bagi memberi pengajaran kepada pengguna laman sosial yang dilihat membulinya menerusi komen berbaur fitnah.
“Apa yang saya buat ini untuk memberi pengajaran kepada mereka agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berbaur fitnah.
“Selain itu, saya juga mahu spekulasi berkaitan kes ini dihentikan,” katanya.
Keluarga sokong
Dalam sidang akhbar itu, Linda turut menjawab beberapa isu yang diutarakan pengguna laman sosial mengenai sikapnya yang dikatakan tidak menggunakan saluran yang betul dalam membuat laporan selain kesalahan menggunakan telefon bimbit.
“Memang selepas apa yang berlaku saya buat laporan mengikut saluran yang betul. Malah turut bertemu dengan beberapa pihak, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang keputusan.

“Soal tidak boleh menggunakan telefon bimbit pula saya tidak tahu sebab tidak ada papan tanda yang diletakkan.
“Dalam masa sama saya turut melihat jururawat dan doktor menggunakan telefon bimbit ketika dalam hospital. Malah, ada juga doktor yang meminta saya berswafoto bersama mereka,” katanya lagi.
Sentiasa menghormati setiap profesion, bagi Linda tidak timbul isu mengapa dia menghantar ibunya ke hospital kerajaan dan bukan swasta untuk mendapat layanan berbeza.
“Bila orang komen kenapa hantar ke hospital kerajaan dan bukan swasta, soalnya memang kami mahu menghantar ibu ke hospital swasta pada mulanya. Namun atas nasihat doktor di hospital berkenaan kami diminta untuk menghantar ibu ke hospital kerajaan.
“Bukan soal kami miskin dan tidak mampu, namun bila ada yang melemparkan komen sebegini, saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya,” kongsinya.











