KUALA LUMPUR 24 Jan. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa dalam usaha menyebar dan menarik perhatian umum terhadap Islam, pendekatan yang berhemah, lembut, mendidik dan terbaik terutamanya dalam ‘Amar Makruf’ dan ‘Nahi Mungkar’ harus ditekankan dan bukannya melalui pendekatan yang ekstrem atau kekerasan.
Titah baginda, ia bukan sahaja tidak dapat menarik minat orang bukan Islam terhadap Islam, bahkan orang Islam sendiri juga terkesan.
“Oleh itu, seseorang Muslim perlulah bersikap lebih terbuka dan kreatif dalam berdakwah,” titah baginda.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Seminar Fiqh Mengubah Kemungkaran, Tahun 2019’ yang diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Baginda turut berharap agar seminar ini juga merupakan antara bentuk sokongan kepada kerajaan dalam usaha melahirkan modal insan yang berfikiran terbuka, maju, kreatif dan berdaya saing menurut acuan Islam yang sebenar. – UTUSAN ONLINE










