LONDON 14 Jan. – Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, tidak berminat untuk bercakap tentang kontrak Willian ketika pemain tengah itu sedang dikaitkan dengan gergasi LaLiga, Barcelona.
Masa depan pemain Brazil berusia 30 tahun itu dibincangkan selepas Chelsea mencatat kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Apabila salah seorang wartawan bertanyakan mengenai Willian yang memiliki kontrak sehingga 2020 dan hanya diberikan tawaran satu tahun, Sarri terus menghentikan wartawan tersebut.
“Berhenti, cukup. Saya tidak tahu mengenai kontrak Willian, saya juga tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan ini.
“Mungkin dia memiliki kontrak selama 12 tahun, saya tidak tahu. Saya tidak memiliki gambaran penuh. Anda cuba membuat saya bercakap perkara diluar pengetahuan saya,”kata Sarri. – AGENSI










