BENTONG 5 Jan. – Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack memberitahu beliau tidak perlu memohon maaf secara terbuka susulan pertengkaran mulut melibatkan isu tanah di Manchis di sini kerana tidak melakukan sebarang kesalahan.
Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau hanya mahu membela penduduk setempat yang teraniaya selepas tanaman mereka dimusnahkan, malah dia dan semua individu terlibat telah bermaaf-maafan pada hari sama.
“Saya mengaku ada terlepas cakap memandangkan saya juga manusia dan kata-kata I am running the government today timbul selepas ada individu bertanyakan siapa dan kenapa awak ada di sini?
“Mereka fikirkan saya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya bukan hendak tunjukkan kuasa cuma saya susah hati dengan keadaan penduduk yang teraniaya,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, pertengkaran mulut antara Wong Tack dan beberapa individu yang sedang membersihkan kawasan tanah kebun di Manchis tular dalam media sosial.
Video berdurasi 4.36 minit itu memaparkan Wong Tack tidak dapat mengawal emosi dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakannya meninggikan suara, Wong Tack berkata, dalam keadaan bunyi bising empat buah jentera dan situasi tanaman penduduk sedang dimusnahkan, dia terpaksa bercakap dengan suara yang kuat.
Pada masa itu, katanya, dia hanya mahu kerja-kerja pembersihan tersebut segera dihentikan dan satu penyelesaian dapat dicapai terhadap penduduk yang telah lama mengusahakan kawasan berkenaan berbanding pihak syarikat yang baru mendapat kelulusan.










