CAMERON HIGHLANDS 15 Jan. – Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh mendakwa seorang saksi utama semasa prosiding kes beliau di Mahkamah Pilihan Raya didapati hadir dalam program seorang individu memberikan wang kepada sekumpulan pemuda.
Menurutnya, saksi berkenaan merupakan seorang Tok Batin yang memberikan keterangan di mahkamah yang kemudiannya mengisytiharkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibatalkan kerana memberi rasuah.
Beliau berkata, berdasarkan gambar yang tular, Tok Batin berkenaan duduk bersebelahan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo manakala calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran sedang berucap.
“Saksi berkenaan duduk dengan semua pemimpinan PH di kerusi dalam program tersebut. Ternyata dia adalah saksi kepada Manogaran sedangkan Manogran yang memfailkan petisyen menuduh saya merasuah pengundi dalam PRU-14.
“Hari ini terbukti orang yang menjadi saksi memberi keterangan dalam kes saya itu adalah orang dia (Manogaran),” katanya ketika dihubungi Utusan hari ini.
Sivarraajh turut meminta pihak yang berkenaan seperti polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes seorang wanita memakai baju PH memberikan wang kepada Orang Asli.
Menurutnya, siasatan harus dijalankan kerana gambar tersebut merupakan bukti yang kukuh bahawa wujud unsur rasuah yang dilakukan oleh PH dalam PRK Cameron Highlands.
Beliau berkata, dalam kes beliau, tiada bukti beliau melakukan rasuah sebaliknya hanya berdasarkan orang cakap, tiada gambar atau bukti lain dan hanya keterangan saksi termasuk daripada saksi dari DAP.
“Sedangkan sekarang ada bukti bergambar pemberian wang, jadi pihak berkuasa perlu menyiasatnya.
“Saya cuma mahukan keadilan saya. Saya orang yang paling terasa apabila kemenangan dalam PRU-14 dibatalkan kerana tuduhan rasuah yang tidak jelas. Saya percaya polis, SPR dan SPRM telus dan profesional untuk menyiasat kes ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










