PUTRAJAYA 14 Jan. – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah mengeluarkan notis perintah pembatalan MyPPP berkuat kuasa hari ini.
Menurut sumber ROS yang mengesahkan perkara tersebut, notis perintah pembatalan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim.
“Ya, memang ROS ada keluarkan (notis pembatalan MyPPP) hari ini,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Notis perintah itu adalah berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] Perintah Pembatalan [Seksyen 13(1)(c)(ix)].
Antara isi kandungan notis tersebut ialah:
-Bahawasanya suatu kenyataan dikeluarkan pada 13 Disember 2018 oleh Pendaftar Pertubuhan dengan maksud hendak membatalkan pendaftaran pertubuhan yang tersebut di atas kecuali sebab-sebab yang cukup sebaliknya yang dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan.
-Dan bahawasanya Pendaftar Pertubuhan telah menimbangkan perkara ini dan juga rayuan yang dibuat kepadanya oleh pegawai-pegawai pertubuhan yang tersebut.
-Dan bahawasanya Pendaftar Pertubuhan berpendapat bahawa rayuan tersebut telah tidak menunjukkan sebab-sebab yang cukup disebaliknya.
-Maka oleh itu diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut adalah dibatalkan mulai dari tarikh perintah ini (14 Januari 2019).

Notis perintah itu diberikan kepada Tan Sri M. Kayveas, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz, Jabatan Insolvensi Malaysia, Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
MyPPP sebelum ini berdepan krisis kepemimpinan apabila terdapat dua kem yang mendakwa menerajui parti berkenaan.
Ketika ini MyPPP terpecah kepada dua kepimpinan iaitu di bawah Presiden, Datuk Seri Maglin D’Cruz yang dipilih selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Mei lalu selain Kayveas yang mengaku bahawa beliau masih presiden yang sah. – UTUSAN ONLINE










