PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap kepada Muhammad Qayyum Mohd. Faisal selepas gagal menghadirkan diri bagi sebutan semula kes insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 26 November lalu.
Majistret Nor Arifin Hisham memerintahkan waran tangkap dikeluarkan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran membuat permohonan itu tadi.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh perlu hadir pada 26 Februari depan untuk hadir ke mahkamah.
Terdahulu, seramai 17 daripada 18 individu yang didapati terlibat semasa insiden itu hadir bagi sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd. Hezri Shaharil, Ahmad Faiq Azizan dan Azlan Roni.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa kerana melibatkan diri dalam rusuhan dengan memiliki senjata berbahaya untuk menyerang yang boleh dihukum mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan diantara pukul 2 pagi hingga 5 pagi, 26 November lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes ini. – K! ONLINE










