IPOH 16 Jan. – Sebanyak 1,112 unit rumah teres mesra milik ditawarkan pada harga antara RM70,00 sehingga RM250,000, bakal didirikan di sini khusus untuk anak Perak dari golongan berpendapatan rendah (B40).
Projek kerjasama antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dengan pemaju hartanah, MK Land Holdings Bhd di atas tapak seluas 88 hektar itu akan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM709 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana pemaju hartanah bagi melaksanakan pembangunan rumah mampu milik bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan, memiliki kediaman sendiri.
“Langkah ini sekali gus memberi peluang kepada mereka yang memiliki pendapatan bulanan isi rumah antara RM1,800 hingga RM3,800, memiliki kediaman pertama.
“Pihak pemaju swasta disaran menjalin kerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak bagi memenuhi permintaan tinggi perumahan kediaman mampu milik bagi golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah projek kediaman tersebut di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi MK Land Holdings Berhad, Felina Tan Sri Datuk Dr. Mustapha Kamal; Ketua Pengawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, K. Mohanachandran dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin.










