Royalti, pembalakan dua isu berbeza - Azmin - Utusan Malaysia

Royalti, pembalakan dua isu berbeza – Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Kerajaan Negeri Kelantan tidak wajar menggunakan alasan pemberian royalti minyak bagi menghalalkan aktiviti pembalakan di negeri tersebut.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, aktiviti pembalakan dan pemberian royalti minyak merupakan dua perkara berbeza yang perlu dilihat secara teliti.

“Ini soal persekitaran yang kita mahu semua negeri bukan sahaja Kelantan, iaitu kita mahu negeri itu dibangunkan tetapi persekitaran mesti dijaga. Itu sahaja.

“Beliau tak boleh kalau ada kelewatan atau kegagalan pembayaran royalti maka negeri akan dirosakkan. Ini tidak kita akan benarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Jelas Mohamed Azmin yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), kerajaan telah menyatakan pendirian mengenai pemberian royalti minyak iaitu akan akur pada peruntukan undang-undang dan kaedah penyelesaiannya tertakluk kepada jumlah pengeluaran di negeri berkenaan seterusnya akan ditentukan oleh Petronas. 

“Memang kita bayar royalti kepada kerajaan negeri Terengganu, Kelantan cuma sebelum ini kita membayar lima peratus tetapi dalam manifesto kita akan tingkatkan 20% tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan negeri dan perbincangan ini sedang berjalan. 

“Kalau kita lihat Akta Pembangunan Petroleum (PDA)1974, pembayaran tunai itu atau biasanya disebut sebagai royalti mesti dengan persetujuan kedua-dua pihak iaitu kerajaan persekutuan dan negeri, bukan secara unilateral,” katanya.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Minggu lalu, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah mewakili masyarakat Orang Asli terhadap Kerajaan Pas Kelantan berhubung aktiviti pembalakan di tanah penempatan Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, lesen pembalakan dikeluarkan kepada syarikat swasta telah mengakibatkan Orang Asli dinafikan tanah adat dan sumber mereka sekali gus menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap hutan. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN