JASIN 29 Jan. – Selepas dilaporkan hilang lebih 48 jam dari rumahnya di Perkampungan Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus di sini, seorang wanita yang menghidap kemurungan ditemukan dalam keadaan selamat hari ini.
Ketika ditemukan, wanita itu, Rosiah Mansor, 52, didapati dalam keadaan lemah namun dia masih sedar dan mampu mengingati nama serta tempat tinggalnya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, mangsa ditemukan kira-kira pukul 9.50 pagi di kawasan hutan yang terletak 2.5 kilometer dari rumahnya.
“Penduduk kampung menemukan wanita itu dan segera memaklumkan kepada pasukan bomba dan penyelamat yang pada masa sama sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan berdekatan.
“Sebaik sahaja ditemukan, wanita itu yang tidak mengalami kecederaan luaran tetapi berada dalam keadaan lemah segera dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rosiah dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di pekarangan rumahnya di Lorong Kampung Orang Asli Solok Terentang kira-kira pukul 7 pagi Sabtu lalu.
Kehilangan Rosiah yang menghidap sawan sejak darjah 4 selain mengalami kemurungan selepas berpisah dengan suami kira-kira 15 tahun lalu disedari anak lelakinya, Engku Airil Azuan Tengku Adzha, 32, yang menyedari pintu rumahnya terbuka dan tiada orang di rumah pada pagi itu.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan sepasukan 30 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bermula pada pukul 8 pagi sejak Sabtu lalu sehingga hari ini.











