DUBAI – Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo berjaya merangkul gelaran Anugerah Pemain Terbaik pada Majlis Anugerah Bola Sepak Global yang berlangsung di Dubai awal pagi semalam.
Bintang Portugal tersebut yang pernah memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali hadir ke majlis tersebut bersama tunangnya, Georgina Rodriguez dan anak lelakinya, Cristiano Junior.
Ronaldo mengakui kejayaan tersebut adalah satu permulaan yang baik buat dirinya tahun ini, sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus melakukan kejutan dalam kariernya di Serie A selepas ini.
“Tiada apa yang lebih baik untuk memulakan tahun baru 2019 selain daripada menerima anugerah ini.
“Terima kasih kepada semua atas penghargaan yang diberikan hasil daripada usaha saya selama ini,” kata Ronaldo.
Pemain berusia 34 tahun itu berjaya mengatasi dua bintang Perancis, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann meskipun mereka berdua berjaya memimpin skuad Les Bleus menjuarai kempen Piala Dunia tahun lalu di Rusia.
Antara pemenang lain dalam majlis itu ialah Didier Deschamps yang diberi pengiktirafan sebagai Jurulatih terbaik selain legenda Brazil, Ronaldo yang memenangi anugerah Karier Terbaik.
Kelab La Liga, Atletico Madrid pula dipilih sebagai Kelab Terbaik tahun lalu.
Anugerah Bola Sepak Global yang memasuki edisi kesepuluhnya semalam diperkenalkan bagi mengiktiraf pencapaian para pemain, pengurus, pengarah kelab dan juga ejen dalam bola sepak sepanjang tahun tersebut. – Agensi










