RM37,683 pakaian, kasut, dompet tiruan dirampas - Utusan Malaysia

RM37,683 pakaian, kasut, dompet tiruan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 31 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas pelbagai jenis pakaian, kasut dan dompet tiruan bernilai RM37,683 dalam serbuan di sebuah ekspo jualan di tempat letak kereta pasar raya besar Mydin di sini, Isnin lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Zulfamy Mat Udi berkata, dalam operasi kira-kira pukul 8 malam hingga 3 pagi itu sebanyak enam gerai menjual barangan tiruan berjenama Adidas, Nike dan Puma diserbu.

“Hasil pemeriksaan disertai 19 anggota dan pegawai itu kita merampas sebanyak 1,110 barangan tiruan dalam operasi di ekspo jualan lelong kaw-kaw.

“Saya ingin mengingatkan mana-mana penganjur karnival ekspo supaya memastikan peniaga mematuhi peraturan seperti barangan tiruan, cetak rompak, tanda harga, penentusahan alat timbang keselamatan, permainan dan juga peraturan agensi lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulfamy, kesemua barangan yang dirampas dibawa ke stor sitaan KPDNHEP di Chendering untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan akta sama harga jualan murah.

Katanya, operasi membanteras barangan tiruan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada peniaga yang menjual barangan berkenaan di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×