RM1 juta bantu murid miskin - Utusan Malaysia

RM1 juta bantu murid miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 7 Jan. – Kerajaan negeri bakal menyampaikan sumba­ngan bantuan perseko­lahan berjumlah RM1 juta ke­pada 10,000 murid kurang berkemampuan di sekolah agama kerajaan Johor (SAKJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Katanya, sumbangan itu me­rupakan tambahan kepada bantuan RM100 seorang yang diberi kerajaan Pusat.

“Sumbangan ini diharap membantu meringankan beban keluarga terbabit khususnya da­lam persekolahan anak mereka.

“Secara tidak langsung penyumbang bantuan khususnya pembayar zakat akan turut mendapat kebaikan daripada amalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Perhimpunan Bulanan MAINJ di Pusat Islam Iskandar di sini semalam.

Turut hadir, Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot; Ke­tua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md. Rofiki Shamsudin dan Pe­ngarah Jabatan Agama Islam Johor, Mohd. Noh Ibrahim.

Sementara itu, Aminolhuda turut memberitahu pihaknya yakin akan dapat membuat kutipan zakat berjumlah RM300 juta bagi tahun 2019.

“Sasaran ditetapkan seba­nyak RM290 juta, namun de­ngan pelbagai program bantuan dan sumbangan dijalankan, lebih ramai pihak akan membayar zakat.

“Oleh itu kami yakin mampu capai kutipan zakat sebanyak RM300 juta kerana banyak pihak akan terpanggil untuk bersama membantu individu memerlukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN