KUALA LUMPUR 11 Jan. – Prestasi ringgit mengukuh menyaksikan mata wang tempatan itu didagangkan pada 4.0920/0960 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 6 petang ini daripada 4.0950/1000 semalam.
Rata-rata penganalisis mata wang berpendapat prestasi positif sejak semalam itu dipengaruhi oleh faktor luaran khususnya pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang memihak kepada kadar faedah rendah.
Selain jangkaan bahawa Fed akan menangguhkan kitaran pengawalan kadarnya pada 2019, faktor lain yang turut mendorong pengukuhan ringgit adalah kenaikan harga minyak serta peningkatan sentimen optimis terhadap rundingan dagangan Amerika Syarikat-China.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid percaya pemacu utama ialah Fed hasil susulan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dikeluarkan semalam.
Katanya, minit mesyuarat FOMC menunjukkan Fed memihak kepada kadar faedah rendah berhubung prospek kadar faedah yang lebih tinggi pada tahun ini.
“Malah, Presiden Fed, Atlanta Raphael Bostic berpendapat kemungkinan terdapat satu lagi kenaikan kadar pada tahun ini, menunjukkan Fed mula menyedari mengenai mengetatkan dasar monetari.
“Ini memberi sokongan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit berikutan peserta pasaran lebih cenderung kepada aset berisiko,” katanya.
Beliau juga berkata perbincangan antara AS dan China mengenai perdagangan berjalan dengan lancar, memberi keyakinan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga minggu ini dengan ditutup tinggi didorong oleh minat belian dalam saham murah dan saham wajaran tinggi terpilih.
Ketika ditutup, penanda aras asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.34 mata kepada 1,683.22 berbanding 1,678.88 semasa ditutup pada Khamis.










