KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS berikutan penyusutan dolar susulan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kurang memberangsangkan, mencetuskan kebimbangan bahawa pertumbuhan ekonomi terbesar di dunia itu semakin perlahan.
Pada pukul 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1380/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1410/1460 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejatuhan dalam Indeks Institut Pengurusan Pembekalan (ISM) AS dan garis panduan pendapatan daripada Apple merupakan berita utama yang menggerakkan pasaran.
Menurut Indeks ISM AS, sektor pembuatan jatuh 5.2 mata kepada 54.5 pada Disember, menunjukkan isyarat bahawa kalangan pekilang kurang yakin, manakala apa yang lebih penting, berlaku penurunan ketara dalam Indeks Tempahan Baharu Disember sebanyak 11 mata kepada 51.1 mata.
“Ini mencadangkan aktiviti pengeluaran dan permintaan dijangka lemah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata, Apple telah menurunkan garis panduan perolehannya bagi suku pertama, menunjukkan bahawa permintaan dari China telah berkurangan dengan ketara, seiring dengan keadaan ekonomi di negara itu yang semakin perlahan pada 2018.
“Oleh itu, prestasi pasaran yang sedang pesat membangun dijangka amat mencabar, berikutan risiko akan meningkat. Di masa depan, permintaan dijangka berterusan bagi mata wang kukuh seperti dolar AS dan yen Jepun.
“Pada ketika ini, dolar AS menyusut pada kadar perlahan. Kami menjangkakan ringgit akan berada dalam julat semakin cergas dalam waktu terdekat,” katanya kepada Bernama.
Semasa dibuka hari ini, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Ia jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8461/8509 daripada 3.8457/8514 semasa ditutup pada
Khamis dan lebih rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0342/0382 daripada 3.0321/0369.
Ringgit jatuh berbanding pound kepada 5.2300/2367 daripada 5.2090/2173 dan susut berbanding euro kepada 4.7202/7260 daripada 4.7104/7165. – Bernama










