TIDAK pernah menjangka ‘gaya bundle’ yang diketengahkan berjaya menarik minat ramai hinggakan ada yang ingin membelinya.
Permintaan itu membuatkan Gadis S2 kali ini, Siti Suhaila Mohd. Filus mengambil keputusan untuk menjual pakaian-pakaian yang digayakan sebagai barangan terpakai (preloved).
Setiap pakaian digayakan Outfit Of The Day (OOTD) adalah hasil suai padan baju-baju terpakai yang dibeli dari serata tempat dan disesuaikan mengikut citarasa sendiri.
Namun, rata-rata pakaian yang diminati pembeli adalah cetusan gaya 80-an. Siti Suhaila memilih gaya tersebut kerana menganggap trend 80-an lebih feminin dan longgar, sesuai dengan dirinya yang berhijab.
“Mulanya tiada niat untuk menjual, sekadar mencari pakaian murah tetapi cantik untuk diri sendiri.
“Tetapi, bila saya paparkan di Instagram ada pula yang berminat membeli. Sebab itu saya ambil keputusan menjual pakaian-pakaian saya melalui jualan dari but kenderaan atau car boot sale,” katanya yang sudah setahun menjalankan perniagaan tersebut.
Menurut Siti Suhaila, walaupun baju terpakai ia tetap cantik, malah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kebanyakan pakaian diketengahkan adalah gaya vintage termasuk gaya 80-an yang sukar dicari.
Jelasnya, setiap minggu dia akan pergi mencari baju-baju terpakai yang bersesuaian.
Selain untuk berniaga, membeli-belah di kedai bundle merupakan terapi buat Siti Suhaila kerana dapat menghilangkan tekanan dan dianggap aktiviti menyeronokkan.
“Saya hanya berniaga pada hujung minggu. Dahulu saya berniaga di Wangsa Walk, tetapi kini bergerak ke The Garage KL yang terletak di Jalan Hillview, Ampang, Selangor.
“Baju-baju bundle yang telah saya pakai dalam tempoh sehari, akan saya jual sebagai preloved.
“Istimewanya, pergilah mana-mana kedai bundle, tidak akan jumpa rekaan atau gaya sama seperti yang saya ketengahkan itu,” katanya yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya RM200 melalui hasil jualan baju terpakai.
Selain itu, Siti Suhaila turut berusaha membina nama sebagai pereka fesyen, ditambah ingin lebih mahir dalam jahitan manik yang merupakan antara kekuatannya dalam bidang fesyen.
Graduan Diploma Rekaan Fesyen dari Kolej Antarabangsa Geomatika itu pernah bekerja dengan pereka fesyen terkenal, malah sanggup menimba pengalaman menjadi promoter di sebuah butik antarabangsa semata-mata untuk mengasah bakatnya dalam komunikasi.
Buat permulaan, Siti Suhaila hanya menjahit di rumah dengan rata-rata pelanggan diperoleh melalui Instagram selain rakan-rakan kolej lamanya yang menghantar baju-baju untuk dijahit manik.
“Rekaan taburan manik dihasilkan mengikut citarasa pelanggan. Selalunya, mereka gemarkan yang ringkas untuk gaya ke pejabat mahupun pakaian raya.
“Berbeza dengan pakaian pengantin yang lebih sarat dengan manik. Upah menjahit manik bergantung kepada rekaan dan jenis manik yang digunakan,” jelas Siti Suhaila.
Katanya, menjahit manik sebenarnya memerlukan kesabaran dan kemahiran. Malah, pereka juga kena bijak memilih manik-manik agar bersesuaian dengan rekaan dan material pakaian tersebut.











