Restoran pelayan ditampar diserbu - Utusan Malaysia

Restoran pelayan ditampar diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 7 Jan. – Ekoran insiden seorang pelayan sebuah restoran di Seksyen 25 di sini ditampar baru-baru ekoran isu merokok, timbul pula isu lain berkait soal status sebenar restoran berkenaan hingga membawa kepada serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam.

Serbuan itu dilakukan Bahagian Pengurusan Halal, JAIS bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas menerima aduan menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang mengatakan premis tersebut mengelirukan masyarakat Islam dengan menggantung ayat al-Quran di dalam restoran dan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan.

Timbalan Pengarah Operasinya, Salwana Ahmad Dahlan berkata, hasil pemeriksaan mendapati di dalam sijil pendaftaran syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) premis tersebut dimiliki dua individu, seorang beragama Islam dan seorang lagi bukan beragama Islam.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati kesemua pekerja premis adalah beragama Hindu dan hanya terdapat dua pekerja sahaja beragama Islam.

“Kita mendapati bekalan bahan mentah seperti daging kambing diperolehi daripada pembekal yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sah. Selain itu, tahap kebersihan premis ini juga tidak memuaskan dan bahan mentah diletakkan terus di atas lantai serta berada dalam keadaan pecah dan berlubang.

“Malah, premis juga tidak menggunakan perangkap minyak seperti disyaratkan pihak berkuasa tempatan. Paling meragukan apabila premis ini menggantung bungkusan kain kuning di sebelah ayat al-Quran dipercayai tangkal atau azimat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan telah diambil di bawah Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina dan mengarahkan pemilik hadir memberi keterangan di ibu pejabat JAIS. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN