Referendum rakyat yang jelak dengan PH - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Referendum rakyat yang jelak dengan PH – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Keupayaan Barisan Nasional (BN) yang begitu mudah mematahkan cabaran DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam merupakan suatu referendum rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sambil memanjatkan syukur kepada Allah SWT, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia jelas menunjukkan kebangkitan rakyat menolak kerajaan PH yang dilihat gagal menjaga kebajikan rakyat dan mentadbir negara dengan baik.

Tegasnya, rakyat sudah jelak dengan kerajaan PH yang tidak habis-habis menabur fitnah dan menyalahkan kerajaan BN yang lepas, namun gagal menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan kos komoditi terus menurun yang diburukkan lagi dengan ekonomi yang kian merudum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan pelbagai krisis baharu yang timbul dalam Kerajaan PH, ia sehingga memberi kesan kepada pelbagai lapisan rakyat sama ada di bandar dan luar bandar untuk lebih memahami dan menggunakan kuasa yang mereka.

“Ini sekali gus memberikan satu signal atau isyarat kepada kerajaan PH bahawa rakyat bersedia untuk terus menolak mana-mana kerajaan sekali pun jika kerajaan yang memerintah tidak menunaikan tanggungjawab sebenar mereka sebagai sebuah kerajaan yang peka dan prihatin kepada permasalahan rakyat.

“Kemenangan saudara Ramli Mohd. Nor iaitu calon daripada masyarakat Orang Asli mencipta satu sejarah baharu kepada Orang Asli kerana pertama kali Orang Asli mempunyai Ahli Parlimen dari kaum mereka,” kata beliau dalam kenyataan di sini pagi ini.

Dalam PRK Parlimen Cameron Highlands semalam, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.

Ramli yang mendapat 12,038 undi menewaskan  M. Manogaran dari DAP (PH) yang meraih 8,800 undi.

Dua calon Bebas masing-masing Sallehuddin Ab. Talib memperoleh 314 undi manakala Wong Seng Yee, 276 undi.

Menurut Ismail Sabri, walaupun PH menabur pelbagai janji baharu khusus untuk pengundi di Cameron Highlands namun rakyat sudah tidak lagi mempercayai janji-janji itu kerana kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU-14 yang terlalu ketara.

“Pengundi di Cameron Highlands pastinya menganggap janji-janji PH  itu perkara yang boleh untuk tidak ditunaikan, walhal pengundi memberikan kepercayaan kepada mereka atas sebab janji dan manifesto mereka.

“Bagi rakyat, kerajaan PH merupakan kerajaan yang langsung tidak ada tanggungjawab terhadap janji mereka kepada rakyat dan kerajaan sebegini harus ditolak,” katanya,

Kata beliau, amat mengagumkan dan ia jarang berlaku di mana kemenangan BN dimulakan dengan mendahului undi awal dan undi pos sekali gus jelas menunjukkan kakitangan kerajaan juga sudah tidak meyakini kerajaan hari ini menerusi penolakan mereka secara total terhadap majikan mereka sendiri.

“Apa yang ingin saya tegaskan dan paling penting ialah kesan dan keputusan PRK Cameron Highlands kali ini berkait rapat soal kerjasama UMNO-Pas yang membawa makna yang besar kepada BN kerana BN menang besar undi Melayu dan Orang Asli.

“Sudah pasti kerjasama ini harus diteruskan untuk UMNO-Pas menerajui sebuah perjuangan agama dan bangsa secara bersama,” kata beliau.

Dalam aspek ini, Ismail Sabri dengan rasa rendah diri mengucapkan jutaan syabas dan terima kasih kepada seluruh jentera pelbagai peringkat, UMNO cawangan dan UMNO Cameron Highlands, bahagian-bahagian UMNO Pahang, Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, ketua-ketua bahagian dan wakil negeri-negeri serta seluruh jentera Pas, MCA, MIC, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang sanggup turun padang membantu BN sepanjang tempoh kempen tanpa mengharapkan imbuhan.

Kata beliau: “Sudah pasti kemenangan ini juga merupakan kebangkitan Melayu, bumiputera dan Islam di samping kemenangan batang tubuh calon BN yang sudah bergelar YB Ramli Mohd Nor. 

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh pengundi Parlimen Cameron Highlands. Ini perjuangan kita. Ini kejayaan kita. Melayu Islam dan Bumiputera terus bangki.”
– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×