Reaksi mak Serena curi tumpuan - Utusan Malaysia

Reaksi mak Serena curi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE 22 Jan. – Kemenangan sensasi Serena Williams ke atas pemain No. 1 dunia, Simona Halep pada pusingan keempat kejohanan tenis Terbuka Australia semalam mencuri tumpuan peminat.

Juara Grand Slam 23 kali itu bangkit daripada ketinggalan di set kedua sebelum mengetepikan bintang Romania, Halep 6-1, 4-6, 6-4 di Rod Laver Arena.

Begitupun, bukan kejayaan Serena sahaja yang menarik tumpuan, malah reaksi ibu bintang Amerika Syarikat (AS) itu ketika melihat anaknya meraih kemenangan telah menjadi perbinca­ngan hangat dalam kalangan peminat.

Video wajah Oracene Price yang ­seperti ‘tiada perasaan’ ketika orang ramai meraikan kemenangan Serena tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

Price, 66, yang duduk bersama pasukan Serena tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika orang lain, termasuk jurulatih pemain itu, Patrick Moouratogl­ou melompat dan berpelukan meraikan kemenangan.

Sementara itu, Serena mengakui, kejayaan melangkah ke suku akhir kali ini cukup istimewa biarpun dia sudah tujuh kali bergelar juara Terbuka Australia.

“Ia perlawanan yang sangat sengit. Perasaan kali ini cukup istimewa kerana saya menewaskan pemain No. 1 dunia ketika tidak berada di kemuncak karier.

“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan menarik saya selepas 10 bulan kembali ke gelanggang.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi saya akan cuba mengambil peluang memenangi setiap perlawanan,” kata Serena yang akan berdepan bintang Republik Czech dan pilihan ketujuh, Karolina Pliskova pada suku akhir esok.

Pemain berusia 37 tahun yang hadir sebagai pilihan ke-16 membuktikan dia kini berada pada fizikal terbaik untuk memburu gelaran Grand Slam ke-24. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×