KUALA LUMPUR 22 Jan. – Rakyat bakal menikmati akses kelajuan internet terpantas apabila rangkaian 5G yang pertama di Asia Tenggara akan dibangunkan di negara ini dan dijangka siap pada November tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, projek pemasangan fiber gantian optik terbesar itu akan dilaksanakan di bawah XiddiG Cellular Communications Sdn. Bhd. yang bernilai RM5.45 bilion.

Kata beliau, projek itu akan dibangunkan menerusi dua fasa meliputi jajaran sepanjang 110,000 kilometer di kawasan bandar, luar bandar Semenanjung dan pedalaman Sabah serta Sarawak.
“Fasa pertama jajaran internet ini akan menghubungkan dari Pengerang, Johor hingga Putrajaya membolehkan pengguna menikmati akses pada kelajuan sehingga 1GB data sesaat.
“Seterusnya fasa kedua pula akan dibangunkan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang dijangka siap pada tahun 2022,” katanya dalam ucapan di Majlis Pelancaran Meningkatkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia (EM-IIG) di Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Arviena Faira Nadisha menunjukkan isyarat bagus selepas Majlis Pelancaran Projek Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia (EM-IIG) di Saujana Hotel, Shah Alam, hari ini. – UTUSAN ONLINE/ABD. RAZAK AID
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif XiddiG, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim.
Jelas Dr. Wan Azizah, syarikat tempatan itu juga bakal menyediakan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi kepada semua sekolah, institusi pengajian tinggi, hospital dan klinik kesihatan awam di seluruh negara secara percuma menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kerajaan akan memberi kerjasama penuh dalam melaksanakan program ini kerana percaya ia akan membantu pertumbuhan industri baharu berteknologi tinggi sekali gus membantu menjana ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










