Ramona dedah akaun penggodam - Utusan Malaysia

Ramona dedah akaun penggodam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelakon Ramona Zamzam bertindak mendedahkan senarai pemilik akaun media sosial yang dipercayai menjadi dalang di sebalik kejadian Instagram miliknya yang digodam semalam.

Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam, 29, berkata, terdapat lima pemilik akaun dipercayai merupakan satu pasukan penggodam yang berpangkalan di Turki.

“Salah seorang daripada mereka turut mengaku bahawa memang dirinya yang menggodam akaun Instagram saya dan meminta bayaran sekiranya ingin semula. Bagaimanapun, saya tidak mengendahkan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bahkan, mereka juga secara terbuka memaparkan akaun-akaun lain yang mana mereka sudah berjaya godam untuk dijual kepada sesiapa yang ingin membelinya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Ramona penggodam tersebut tidak menyatakan jumlah bayaran yang diminta memandangkan dirinya tidak memberikan respons kepada individu tersebut.

Jelas Ramona lagi, selepas laporan dibuat, dia masih lagi menunggu daripada pihak Instagram bagi mendapatkan semula akaun Instagram miliknya, @ramona_zamzam yang mempunyai 418,000 pengikut.

Sebelum ini, pada Rabu lalu, pelakon drama Cinta Jangan Pergi itu mendakwa akaun Instagram miliknya digodam dengan memaklumkannya menerusi akaun sementara @ramona_zamzam2019.

Jelas Ramona lagi, akaun sementara itu diwujudkan bagi membolehkan dirinya berhubung semula dengan pelanggan yang menggunakan khidmat reviu produk di platform  Instagram.

“Agak sukar buat saya apabila akaun Intagram itu menjadi platform utama dalam menjalankan urusan bisnes. Bukan sahaja melibatkan diri saya, sebaliknya, anak saya, Ivanna Alashkar juga turut melakukan reviu produk bayi,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ramona dia sudah mengambil tindakan drastik dengan menukar semua kata laluan akaun media sosialnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×