KKUALA LUMPUR 22 Jan. – Masih ramai dalam kalangan pekebun kecil getah yang masih belum menerima bayaran pertama bantuan musim tengkujuh (BMT) berjumlah RM300 walaupun kerajaan memaklumkan akan membuat pembayaran pada akhir tahun lalu.
Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman menjelaskan, malahan ada juga dalam kalangan pekebun getah yang tiada dalam senarai penerima BMT walaupun sebelum ini pernah menerima bantuan tersebut yang diuruskan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).
“Ketika perjumpaan bersama pekebun-pekebun kecil getah di Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang, masih ramai yang masih belum menerima bayaran pertama BMT berjumlah RM300.
“Ada juga dalam kalangan mereka yang masih keliru mengenai syarat-syarat untuk memohon BMT memandangkan kedudukan kampung ini berada di kawasan pendalaman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 21 Disember lalu berkata, seramai 274,639 pekebun kecil getah di seluruh negara yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima BMT sebanyak RM600.
Menurutnya, bantuan berkenaan akan dibayar dalam dua peringkat iaitu pada akhir tahun lalu berjumlah RM300 dan baki RM300 pada awal tahun ini.
Sementara itu, menurut Kameruzaman, hasil maklum balas daripada pekebun kecil, mereka memaklumkan tidak mampu untung menanggung kos bagi pemasangan alat pelindung hujan bagi menyahut saranan supaya pekebun kecil menoreh di musim tengkujuh.
“Beberapa pekebun kecil yang ditemui, menyatakan pemasangan alat pelindung hujan (raingutter) adalah melibatkan kos kerana perlu dipasang pada setiap pokok.
“Dengan kebun seluas tiga ekar dan hasil torehan sekitar 15 kilogram sahaja, mereka tidak mampu untuk menanggung kos bagi membeli peralatan tambahan bagi membolehkan menoreh dimusim hujan,” katanya.
Sehubungan itu, jelasnya, pihaknya mencadangkan agar pihak kerajaan dapat membekalkan peralatan tersebut dan agensi berkaitan juga diminta menyediakan kebun-kebun contoh yang menggunakan teknologi berkenaan.
Tambah Kameruzaman lagi, bagi membantu masyarakat pekebun kecil khasnya di kawasan pendalaman, amat penting agensi-agensi berkaitan untuk kerap turun padang.
“Langkah tersebut bagi memberikan penerangan berkaitan skim-skim bantuan dan juga berkaitan teknologi yang wajar digunakan oleh pekebun kecil bagi meningkatkan hasil,” katanya. – UTUSAN ONLINE










