ALOR SETAR 21 Jan. – Peringatan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mahu kerajaan negeri melakukan sesuatu supaya rakyat tidak lagi susah sememangnya perlu diberikan perhatian.
Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, pada masa ini beliau melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah masih tidak mampu mengetengahkan idea-idea baharu sewajarnya untuk pembangunan ekonomi di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri perlu mengemukakan pelan strategik pembangunan ekonomi dengan terancang kerana rakyat masih menunggu program atau projek yang memberi impak sekali gus membuka ruang kepada mereka menikmati hasilnya.
Dalam masa sama, katanya, pelan atau langkah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat juga perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri.
“Masyarakat luar bandar khususnya petani, nelayan dan penoreh getah dilihat masih dibelenggu kesusahan terutama apabila harga komoditi itu jatuh mendadak.
“Kita kena turun untuk melihat semua ini kerana masih ramai rakyat yang memerlukan perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Sallehuddin dalam wawancara disiarkan Utusan Malaysia hari ini yang antaranya mahu melihat perubahan agar rakyat di negeri ini tidak lagi susah.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd. Noor melihat kerajaan negeri perlu mencari jalan bagaimana untuk membantu rakyat khususnya golongan petani, penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.
Katanya, golongan petani dan penoreh khususnya kini berdepan masalah berikutan harga komoditi tersebut yang turun mendadak selain pelbagai inisiatif dan bantuan yang diterima sebelum ini sudah tidak ada.
“Terlalu banyak kekangan sekarang ini oleh kerajaan baharu sehingga menyebabkan golongan ini tidak terbela.
Selain membantu dari aspek pembangunan pertanian, apa-apa inisiatif dan bantuan harus diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini.










