Rakaman kamera tidak sesuai di dalam mahkamah- Ketua Hakim Negara - Utusan Malaysia

Rakaman kamera tidak sesuai di dalam mahkamah- Ketua Hakim Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 11 Jan. – Cadangan agar rakaman kamera digunakan di dalam mahkamah untuk kes berprofil tinggi merupakan satu idea yang bagus namun, bukan semua orang kena tuduh (OKT) bersetuju dengan perkara itu.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, semua pihak perlu memberi pertimbangan yang sewajarnya mengenai cadangan itu termasuk mengambil kira pandangan mereka yang dihadapkan ke mahkamah.

“Itu cadangan yang bagus kerana ada gambar dan sebagainya namun, kita kena memberi pertimbangan sewajarnya kerana mungkin ada sesetengah OKT suka dan ada OKT yang tidak suka dengan cadangan itu.

“Bagi kes berprofil tinggi, apa yang kita buat ialah maklumat disalurkan kepada media agar rakyat mengetahui perkembangan prosiding setiap kes,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pembukaan Tahun Perundangan 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Peguam Negara, Tommy Thomas, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan agar rakaman kamera digunakan bagi kes berprofil tinggi dan berkepentingan umum di mahkamah supaya orang awam boleh menonton prosiding berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN