LIPIS 25 Jan. – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan beliau memberi wang kepada pengundi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menerusi satu video yang kini tular dalam media sosial.
Muhyiddin berkata, video lama itu merupakan fitnah semata-mata bagi menjatuhkan reputasi beliau untuk tujuan berkempen dalam PRK kali ini.
“Ini baru kali pertama saya turun berkempen dalam PRK Cameron Highlands, video itu ketika banjir di Pulau Pinang, saya turun ke satu kawasan yang diaturkan oleh Bersatu dan nampak wanita dalam kesedihan.
“Kami bagi bantuan ketika itu, jadi tidak salahkan? Selepas itu saya seluk poket bagi wanita tersebut duit, itu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Kuala Medang di sini hari ini.
Klip video itu yang tular pada hujung tahun 2017 menunjukkan Muhyiddin bersama beberapa ahli parti berbual dengan seorang wanita warga emas, menyuruhnya untuk menyokong parti itu pada pilihan raya. – UTUSAN ONLINE










