KANGAR 4 Jan. – Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan berkuat kuasa Isnin ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan surat penghargaan dan cendera kenangan perpisahan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Syed Omar di Masjid Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.
Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs ketika bertitah menzahirkan penghargaan kepada Syed Omar di atas segala khidmat baktinya di negeri ini dan sebagai ahli majlis MAIPs dari 1 Januari 2018 sehingga Ahad ini.
“Sesungguhnya, walaupun tempoh beliau (Syed Omar) berkhidmat di negeri ini agak singkat, namun segala sumbangan khususnya dalam aspek perjawatan di MAIPs amatlah dihargai dan semoga beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara kita,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE










