JOHOR BAHRU 26 Jan. – Program perintis Mama Friendly akan dilaksanakan di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar sebelum diperluaskan di premis kerajaan lain di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihak kementerian menyambut baik program dilaksanakan menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
“Pada hari ini, kerajaan negeri Johor melancarkan program Mama Friendly iaitu penyediaan kemudahan bilik penyusuan bayi kepada kakitangan awam wanita di Johor, selari dengan dasar penyusuan susu ibu.
“Saya mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Johor yang menyahut seruan kerajaan Persekutuan dengan mengumumkan inisiatif itu dalam ucapan Belanjawan Johor 2019 lalu,” katanya berucap dalam Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Johor, di Angsana Mall di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.
Sementara itu, Osman berkata, adalah penting penting pembangunan keluarga dirancang dan dilaksanakan secara holistik meliputi segala aspek dan aktiviti kehidupan masyarakat amnya dan keluarga khususnya.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai soal kebajikan rakyat terutama golongan wanita dan Mama Friendly menjadi contoh kemudahan disediakan kepada penjawat awam wanita yang menyusukan anak mereka.
“Pada masa ini, pelaksanaan Pumping Room itu akan dimulakan di Bangunan Dato’ Muhamad Ibrahim Munsyi di Kota Iskandar tetapi kita merancang untuk diperluaskan di seluruh bangunan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











