Produk tradisional Cina tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta, dirampas - Utusan Malaysia

Produk tradisional Cina tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta, dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Kementerian Kesihatan menerusi melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) berjaya merampas beberapa jenis produk tradisional Cina yang tidak berdaftar bernilai RM 7.4 juta di Kuching, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, rampasan itu adalah hasil saringan pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Senari Kuching dan seterusnya membawa kepada satu serbuan dilakukan pada 8 Januari lalu di gudang penyimpanan di Kuching.

Jelas beliau, antara produk tidak berdaftar yang telah dirampas dalam operasi tersebut adalah Ginseng Kianpi Pill, Tou Gubao Pil Reumatisme, Niao Suan Wan Pil Urik Asid dan Tian Ma Tu Chung Seven Leaves Ginseng.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui sejumlah lebih 100,000 kotak produk-produk tidak berdaftar. Kesemua produk ini dipercayai didalangi oleh sindiket dan dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak.

“Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat dalam sindiket ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Kata beliau, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

Jelasnya, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Kementerian Kesihatan juga memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok produk ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta merta memandangkan produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN