TANAH RATA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pihaknya telah melakukan persediaan rapi bagi mengendalikan proses pembuangan undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands esok.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, seramai 811 pegawai telah melakukan persiapan 100 peratus bagi melancarkan proses tersebut yang melibatkan 88 saluran di 31 pusat daerah mengundi (PDM) termasuk dua PDM untuk pengundian awal Selasa lalu.
“SPR menasihatkan orang ramai agar keluar mengundi awal pada hari esok memandangkan terdapat 23 PDM akan ditutup awal.
“Ia berikutan lokasi PDM tersebut yang terletak jauh dari pusat penjumlahan undi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat dan proses semakan akhir peti undi di sini hari ini.
Katanya, sebanyak tiga helikopter akan digunakan untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi berikutan lokasi PDM terlibat berada jauh di pedalaman.
Tambah Azhar, penutupan 23 PDM seawal jam 1 tengah hari dan 4 petang itu bukanlah satu isu besar seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak memandangkan tiada masalah dihadapi pengundi pada beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
“Pada PRU yang dikendalikan SPR sebelum ini, kita tidak menghadapi sebarang masalah pun dan pengundi juga maklum mengenai perkara tersebut.
“Malah, kita dapati peratusan keluar mengundi di PDM yang ditutup awal ini cukup tinggi sehingga mencecah 83 hingga 85 peratus,” jelasnya.
Menurutnya, SPR menjangkakan kira-kira 70 peratus daripada 31,749 penduduk yang layak mengundi akan menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk membuang undi esok.
Katanya, SPR turut menjangkakan akan mengumumkan keputusan PRK Cameron Highlands itu selewat-lewatnya pada pukul 10 malam esok. – K! ONLINE










