KUANTAN 6 Jan. – Pakatan Harapan (PH) tidak memandang mudah kekuatan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini.
Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, hal demikian kerana BN pada waktu-waktunya apabila berada dalam keadaan tertentu boleh mempunyai sebuah pasukan yang kuat.
“Jadi, kita (PH) menghormati dan tidak memandang mudah kekuatan BN di Cameron Highlands.
“Tambahan selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ini kali pertama kita berdepan dengan PRK yang mana kerajaan negeri dipegang oleh BN,” katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan peserta Ultron Kuantan Larian Tahun Baharu di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Januari ini sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Cameron Highlands.
PRK kerusi berkenaan diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C. Sivarraajh pada PRU-14 ekoran berlakunya amalan rasuah di kawasan tersebut. – UTUSAN ONLINE.









