CAMERON HIGHLANDS – Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd. Nor meluahkan keyakinan tinggi mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan sokongan padu masyarakat tempatan.
Ramli yang merupakan pesara Polis Diraja Malaysia itu berkata, beliau optimis akan membantu menyesaikan pelbagai permasalahan tempatan yang dihadapi masyarakat di parlimen berkenaan termasuk isu lesen pendudukan sementara (TOL) yang dibelenggu penduduk.
“Saya merupakan orang tempatan, Orang Asli dan tahu mengenai permasalahan yang dihadapi warga Cameron Highlands ini termasuk isu TOL ini.
“Semua sudah maklum bahawa hal ehwal tanah diletakkan di bawah kuasa pentadbiran kerajaan negeri dan BN merupakan pentadbir di Pahang. Jadi, kemenangan saya di sini boleh membantu menyelesaikan masalah ini kerana kami sehaluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kampung Raja di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira sejam menghadiri Sambutan Hari Ponggal di Kuil Sri Maha Mariyamman, Blue Valley selain beramah mesra dengan penduduk di Kampung Raja di sini.
Ramli turut mempersoalkan kenyataan daripada Pakatan Harapan yang menyatakan mampu menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat sedangkan kerajaan negeri tidak ditadbir mereka. – K! ONLINE










