KUALA LUMPUR 14 Jan. – Isu sogokan duit semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga telah menjalankan mesyuarat mengenai perkara tersebut.
“Kita memberi fokus dan penekanan melibatkan isu-isu keselamatan semasa PRK berjalan.
“Setakat ini, proses PRK Cameron Highlands berjalan lancar dan kami akan terus melakukan pemantauan sehingga keseluruhan proses selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Datuk T. Narenasagaran kepada Datuk Nerita Yaacob.
Narenasagaran pula dinaikkan pangkat menjadi Ketua Polis Pulau Pinang menggantikan Datuk A Thaiveegan yang bersara wajib berkuat kuasa esok.
Menurut Fuzi, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan dengan isu sogokan duit melibatkan PRK berkenaan.
Terdahulu, tular di laman sosial gambar yang menunjukkan seorang wanita memakai baju dengan logo Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa pemuda yang memakai baju sama. – UTUSAN ONLINE










