Polis sedang lengkapkan kertas siasatan - Utusan Malaysia

Polis sedang lengkapkan kertas siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 24 Jan. – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung ke­jadian kemalangan yang menyebabkan kenderaan uti­liti sukan( SUV) Mazda CX-5 terhumban ke laut di Jambatan Pulau Pinang sehingga mengorbankan pemandunya, Moey Yun Peng, 20, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya sedang mengumpul kesemua laporan berkaitan dengan kes itu serta sedang menunggu keputusan ujian darah dan alkohol pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan itu.

“Pihak polis telah merekodkan keterangan 16 individu termasuk saksi awam, ahli keluarga, rakan-rakan mangsa dan pemandu Toyota Vios.

“Selepas semuanya selesai kita akan serahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” kata­nya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi Ahad lalu, kereta SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Yun Peng, terhumban ke laut selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang.

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan pada Selasa.

Menurut Nik Ros Azhan, polis juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula pemandu kereta Toyota Vios yang dibebaskan dengan jaminan polis semalam jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, polis turut menutup laluan di lorong kiri Jambatan Pulau Pinang hari ini kira-kira pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari ini bagi membolehkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengumpul data-data berkaitan dengan kemalangan tersebut.

Sementara itu, mayat mendiang Yun Peng disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Berapit hari ini sementara ahli keluarganya yang masih bersedih dengan kemalangan yang menimpa mangsa enggan ditemu bual.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×