Polis Sabah ambil cap jari, telefon milik suspek - Utusan Malaysia

Polis Sabah ambil cap jari, telefon milik suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Polis Sabah telah mengambil kesan cap jari dan telefon bimbit milik penjenayah yang menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di salah satu unit rumah sebuah blok apartmen Telipok Ria, dekat sini, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, langkah itu diambil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes itu, mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengenal pasti identiti suspek berikutan penghuni apartmen tidak kenal suspek, selain dia bukan penghuni apartmen tersebut.

“Telefon bimbit yang ditemui di badan suspek juga diambil bagi menyiasat rekod panggilan serta rakan kenalan suspek berdasarkan senarai nombor panggilan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Omar berkata motif kejadian masih belum diketahui.

Anggota keluarga atau orang ramai yang mengenali suspek juga diminta tampil bagi membantu siasatan polis, katanya.

Sementara itu, Omar berkata kanak-kanak perempuan terbabit kini dalam keadaan stabil dan sudah boleh bercakap.

Katanya, kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian leher dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Semalam, penghuni apartmen itu kecoh dan berada dalam keadaan cemas apabila dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak perempuan dijadikan tebusan oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Polis Sabah bertindak segera melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek selepas dia mahu mencampak kanak-kanak itu dari tingkap dapur rumah tersebut.

Suspek maut di lokasi kejadian dan kanak-kanak perempuan itu berjaya diselamatkan. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×