PASIR MAS – Polis merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai RM30,000 dan menahan seorang warga emas yang dipercayai cuba menyeludup bahan-bahan itu ke dalam negara selepas memeriksa sebuah kereta di Rantau Panjang Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh berkata, pemeriksaan dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 pada kira-kira pukul 7.15 malam, hasil risikan dan maklumat awam.
“Pemeriksaan susulan anggota PGA membawa kepada penemuan sebahagian lagi mercun yang disembunyikan di rumah suspek. Semua bekalan bunga api itu diseludup masuk dari negara Thailand melalui lorong tikus.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-dua sekali,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Pemerintah Medan Batalion 7, PGA Kuantan, Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embong Ismail berkata, suspek berumur 72 tahun itu dipercayai menjadi pengedar bunga api menjelang sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi dan menudutnya suspek sebelum ini turut mempunyai rekod lampau berkaitan penyeludupan mercun. – Bernama










