Polis nafi remaja perempuan jadi mangsa culik - Utusan Malaysia

Polis nafi remaja perempuan jadi mangsa culik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang remaja perempuan, Siti Khadijah Razali, 16, yang didakwa diculik pada 16 Disember lalu pernah melarikan diri beberapa hari sebelum itu namun ditemui selamat di sebuah pangsapuri di Salak Selatan, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pada 13 Disember lalu pihaknya menerima satu laporan polis daripada ahli keluarga remaja tersebut mengatakan dia telah menghilangkan diri bersama rakan perempuan sebayanya.

“Berhubung laporan tersebut, polis melakukan satu serbuan di sebuah rumah di Taman Seri, Pengkalan Chepa di sini namun maklumat terbaru yang diterima mengatakan dia berada di Salak Selatan, Kuala Lumpur.

“Kita telah meminta bantuan Polis Kuala Lumpur bagi mengesannya di alamat tersebut. Remaja itu ditemui selamat di sebuah pangsapuri sebelum dia dibawa pulang oleh ahli keluarga ke Kota Bharu pada 15 Disember lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Hasanuddin berkata, namun remaja tersebut disedari menghilangkan diri sekali lagi kira-kira pukul 4 pagi pada 15 Disember lalu sebelum satu lagi laporan polis dibuat oleh ahli keluarga.

“Jadi berdasarkan siasatan polis tidak timbul elemen diculik setakat ini seperti dakwaan keluarga mendakwa dia dilarikan dan sebagainya. Jika diculik semestinya penculik akan meminta tebusan atau sebagainya tetapi sehingga kini kami tidak dimaklumkan (tebusan).

“Malah tiada saksi yang nampak anak mereka dilarikan atau diambil seseorang seperti yang dikatakan itu. Kita meletakkan kes ini di bawah inkuiri orang hilang sehingga terdapat ciri-ciri menjurus kepada kejadian culik kita akan buka kertas siasatan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan kerana culik,” katanya.

Tambahnya, polis turut menerima satu laporan mengenai kehilangan rakan sebaya Siti Khadijah iaitu Norayuni Md. Zin, 16, daripada ahli keluarga.

Sebelum ini akhbar melaporkan, ibu Siti Khadijah, Zawiah Yaacob, 45, mendakwa remaja itu diculik oleh lelaki tidak dikenali dan dilarikan ke Pekan Sungai Golok, Thailand selepas dia tidak membawa kad pengenalan dan juga pakaian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN